Esei 1
Sulalat al-Salatin
Adikarya Akalbudi Melayu.
Muhammad Haji Salleh
Wabihi nasta ina billahi
Walau pun kritikan sastera meletakkan dasar yang rasional untuk penilaian sesebuah karya namun begitu dalam ruang gerak bidang ini kita dibenarkan merasa ghairah, merasa terkesan oleh pencapaian besar sebuah adikarya, secara yang istimewa dan/atau menyentuh diri secara peribadi. Tetapi pembacaan karya sastera adalah suatu tindakan yang masih berpijak pada tanah kenyataan yang cukup pejal - tanah sastera yang tua dan bertradisi kukuh -- seni yang bersandarkan bahasa dan pengkisahan. Maka dengan izin kritikan sastera ini saya memerikan gumpalan pengalaman saya sewaktu menikmati sastera Melayu, mungkin dengan palitan ironi bahawa hal ini saya lakukan setelah mempelajari sastera Inggeris, Jepun dan China. Dengan rasa bahawa saya sedang berdiri di depan rimba rahasia fikiran leluhur maka sebagai seorang pembaca Melayu, betapa pun saya terpisah dari akar ini, dan juga sebagai seorang pengarang yang menghadapi pendahulunya, saya berdiri kagum. Inilah suatu pengalaman bandingan, bukan saja dengan sastera barat tetapi juga dengan karya-karya timur atau Afrika lainnya. Pengalaman ini cenderung mengatakan dalam seluruh sastera berbahasa Melayu tiada sebuah karya pun yang menawan, mengesan-ghairahkan seintens Sulalat al-Salatin/ Sejarah Melayu. Saya melalui suatu pengalaman agung membaca sebuah karya agung, yang sering saya bandingkan dengan membaca Shakespeare atau Goethe atau Ramayana. Sebuah karya yang baik kekal lama dalam diri pembacanya dan malah bangsa yang menciptanya. Dan yang dialami bukan saja suatu pengalaman estetik yang sublim tetapi juga pengalaman perasaan dan akaliah yang bermakna, dan (untuk menggunakan istilah Robert Frost) `membijaksanakan.’
Rasa tertawan, ghairah, dan dibijaksanakan ini menyerbu secara serentak, dari berbagai sudut dan peringkat sekaligus, dan bukanlah suatu kesan yang simpel atau berdimensi tunggal. Karya-karya besar seperti Sulalat al-Salatin, mengikut pandangan Timothy Reiss (1992:5), memberi kepuasan daripada empat sudut, iaitu epistemologi, estetik, moral dan politik. Kita dipuaskan oleh pemindahan ilmu dan maklumat, oleh pengalaman keindahan karya itu, kesan kesimpulan moral serta makna politiknya. Karya yang lebih besar akan mengesan secara lebih kompleks, tetapi juga lebih menyeluruh dan kuat.
Dari sudut lain pula, sebagai pengkagum bahasa, saya ditawan oleh kebolehan Tun Seri Lanang membancuh bumbu dasarnya untuk menghidangkan kita dengan pesta bahasa yang nikmat. Sebagai seorang yang mencari sudut pandangan, akar konsep dan keunikan sastera Melayu maka dalam karya ini saya dihadiahkan berbagai bayangan teori sastera oleh mukadimah dan modus operandinya, oleh kata-kata dan konsepnya. Sebagai seorang penyair dan pengamal sastera saya bersyukur dapat contoh unsur-unsur puisi dan struktur karya yang istimewa. Pemerian dan mot justnya memuncakkan rasa cemburu saya. Sebagai seorang yang sesekali diminta menulis tentang kejayaan sastera Melayu karya maka saya melihat Sulalat al-Salatin sebagai berada di atas sebuah bukit besar seni, kerana keunikan dan keistimewaannya.
Dalam mukadimahnya Sulalat al- Salatin, versi awal atau yang dapat disebut versi pra-Gowa atau Pasir Raja, (untuk mengelak penggunaan nama Shellabear dan Raffles yang mengedit atau mengumpul, dan nama mereka tidak pula membayangkan tempat atau negeri penulisannya) yang amat langka dan amat menjelaskan itu, karya ini memerikan dirinya sebagai karya yang oleh pengarangnya di`…himpunkan daripada segala riwayat orang tuha-tuha dahulu kala…’ Inilah metodologi atau pendekatan penyelidikan/ pengumpulan yang dipilih pengarang untuk mendapatkan maklumat dan kisahnya, dan seterusnya menjadi rangka struktur yang membina karya ini (Tun Seri Lanang, 1997: 4). Sementara itu dalam versi yang dibawa pulang dari Gowa, atau yang saya namakan versi Batu Sawar, yang sudah ditambah dengan santun mukadimah sastera Islam-Parsi, sebahagiannyca bercontohkan Bustan al-Salatin, karya ini dilihat pula sebagai `mutiara segala ceritera dan cahaya segala peri umpamanya.’ (Abdul Samad, 19798:3). Bahawa karya ini diminta untuk `diperbaiki,’ oleh Yang Dipertuan di Hilir (Raja Abdullah), untuk dikarang semula, juga menyatakan betapa pentingnya karya asalnya ini. Inilah karya yang dipenuhi maklumat tentang berbagai-bagai hal - daripada salasilah hinggalah kepada peperangan, senibina, adat istiadat serta undang-undang, yang oleh Reiss disebut sebagai fungsi epistemologi. Inilah salah satu sebab yang memperakukannya kepada kepada Raja di Hilir Johor dan seluruh bangsa Melayu pada masa itu dan seterusnnya pada masa setelah itu. Dalam tradisi Melayu tindakan ini adalah suatu tindakan kritikan, dan boleh dianggap sebagai suatu cebisan kritikan sastera awal orang Melayu terhadap karya ini, yang disanjung sebagai salah sebuah yang terbaik, tersohor dari antara beberapa karya lainnya. Di dalamnya terbayang bukan saja genius pengarangnya tetapi juga genius sastera serta bangsa yang menciptanya. Selain dalam Sulalat al-Salatin, genius ini, pada pendapat saya, terlihat hanya dalam pantun dan peribahasa Melayu. Malah Hikayat Hang Tuah yang amat traumatis kesannya kepada bangsa Melayu tidak sekuat atau sedalam kesan atau pencapaiannya.
Walau pun Abdullah Munsyi jarang positif tentang orang Melayu, tetapi beliau cukup memuji Sulalat al-Salatin. Jadi terdapat suatu julat pengiktirafan serta pemujian terhadap karya, dari zaman kerajaan Johor pasca-Melaka hinggalah kepada zaman Abdullah dan zaman kita hari ini.
Merintis Sejarah
Dalam pengenalan kepada Sulalat al-Salatin (1997) ini saya pernah memeperlihatkan betapa besar jumlah naskhah karya ini dan hakikat bahawa kita dapat menemuinya di seluruh dunia, dari Kuala Lumpur ke Jakarta dan London, dari St Petersberg ke Leiden dan Manchester. Penyalinan yang begitu sering adalah suatu cara mengiktiraf karya itu, juga suatu pernyataan kritikan terhadap kenyataan karya. Komentar sastera di zaman tradisional disebut secara lisan dan malangnya menjadi senyap setelah kata yang diucapkan itu berakhir. Pada hari ini kita tidak dapat mendengarnya lagi dan tidak dapat mengutip atau menilainya.
Sementara itu penerimaan terhadap karya ini bukan saja terlihat di dalam negeri sahaja - di Malaysia dan Indonesia, tetapi kita disedarkan kepada hakikat betapa ramai peminat dan pengkajinya yang berasal dari England, Perancis, Belanda, Jerman dan China.
Dalam bandingan dengan bangsa-bangsa Melayu orang-orang Eropah lebih terbiasa serta teradat untuk menurunkan pandangan dan pendapat mereka tentang karya-karya sastera mereka sendiri atau yang ditemui luar dari sempadan bangsa dan negara mereka. Oleh yang demikian pegawai-pegawai Inggeris, pengkaji Belanda serta Perancis, yang datang ke Tanah Melayu dan Kepulauannya sering menurunkan catatan mereka tentang karya yang merkea sukai. Di antara yang dikagumi mereka ialah Sejarah Melayu - Sulalat al-Salatin. Penulis yang terawal mencatat pendapat tentang kitab ini ialah Petrus van der Vorm, seorang pelayar Belanda yang mengumpul dan menerbitkan sebuah perbendaharaan kata Melayu, Collectanea Malaica Vocabularia of Malaische Woordboekameling (1707-08). Roolvink dalam (Brown, (1970:xvii-xviii) mengutip beliau,
Finally, it must be said that any one interested in the
Malay language ought to study the work … not only
on account of the language but also because of the
contents which inform us about the descent of the Malay
kings and the princes of the Malay kingdom and the fortunes
of the Malay kingdom till the coming of the Portuguese.
Pengiktirafan kepentingan dari sudut bahasa dan isinya ini diulang atau disambung oleh ramai pengkaji lainnya. Ternyata buku ini bukan saja membantu pembaca menikmati contoh bahasa yang baik tetapi juga sejarah yang cukup lengkap tentang Melaka dan tanah jajahannya, terutama dalam situasi di mana tiada banyak buku yang membentang sejarah bangsa Melayu secara menyeluruh.
John Leyden dari England pula merasa karya ini penting sehingga beliau telah menyediakan sebuah terjemahan Inggeris untuknya (1821). Raffles telah memberi pengantar kepadanya, dan buku itu diterbitkan setelah meninggalnya Leyden.
Seterusnya di Perancis, di antara pengkaji yang sebenarnya tidak banyak hubungan kolonial dengan bangsa Melayu, Dulaurier tidak ketinggalan pula menyalinnya ke dalam bahasa Perancis dalam tahun 1849, sebagai sebahagian daripada Collections de principales Chroniques Malayes, Kumpulan Karya-karya sejarah Melayu terpenting (Paris 1849-1856). Hans Overbeck, pelayar Jerman, yang juga pernah datang ke Alam Melayu, telah mengalihbahasakannya ke dalam bahasa Jerman pada tahun 1938, dan karya itu dinamakan Malaiische Chronik, Sejarah Melayu, (1938). Nampaknya terjemahan Leyden kurang beredar dan pada pandangan C.C. Brown kurang memuaskan. Oleh yang demikian beliau telah menterjemahkannya semula, kali ini berdasarkan naskhah Raffles MS Malay 18 yang tersimpan di Royal Asiatic Society, London, dan berlandaskan transkripsi Winstedt (1970). Pegawai kolonial dan pengkaji yang inign mencari rahsia serta ilmu tentang orang Melayu akan menemuinya di halamannya. Di sana tergambar bayangan dan contoh cara berfikir, bertindak, menulis dan menghadapi seni yang cukup unik. Di sinilah juga dilihat konsep-konsep pentadbiran, kerajaan, sejarah, ilmu, diplomasi, kewiraan, agama yang mendasari bangsa itu, dari awal hingga zaman pasca-Melaka. Sekiranya dikumpul dan dicantumkan unsur-unsur ini maka dapat dilihat garis kasar dan halus apa yang mungkin disebut sebagai ‘jati diri’ bangsa Melayu. Walau mitos berjalinan dengan fakta, seni bergandingan dengan logika, namun inilah kenyataan bangsa yang berteraskan cara berfikir dan imaginasinya sendiri.
Tun Seri Lanang menulis dari suatu tradisi sastera Melaka yang membawakan pengalaman dunia luas. Unsur-unsur India sudah sering disebutkan dan agak jelas kelihatan. Tetapi di samping itu unsur Jawa, Parsi, Arab dan malah Portugis dapat kita lihat dalam istilah, bahasa, gaya atau struktur penyususnan bab dsb. Kita dapat bersetuju dengan Winstedt bahawa pengarang ini mengetahui bahasa-bahasa Jawa, Arab dan Parsi (1969: 154) Ada bukti yang cukup pejal untuk pendapat ini. Bahasa Jawa digunakan dalam geguritan khusus tentang Hang Tuah, mukadimah jenis Parsi digunakan di awal karya dan seterusnya kutipan Arab dari Quran, hadith dan peribahasa menjadi kebiasaan karya ini.
Tun Seri Lanang adalah seorang manusia yang berilmu dan terdapat beberapa sudut kesarjanaan pada tulisan dan pengetahuan beliau. Karya ini sebenarnya adalah suatu puncak intelektual bangsa Melayu.
Dalam kehidupannya juga Tun Seri Lanang bukanlah manusia biasa, tetapi seorang bendahara yang berat dan besar tanggungjawabnya. Beliau manusia publik, walau pun dalam bukti karyanya kita lihat juga sudut peribadi yang baik dan halus. Beliau juga lahir dan wujud pada zaman pasca-Melaka yang cukup canggih, yang tidak sedikit menjadi manfaat hubungan istana serta negara dengan negara-negara luar. Semua ini bercantum untuk menjadikan beliau manusia pengarang yang luar biasa ini.
Genius Tun Seri Lanang dapat ditemui dalam bakat besarnya, dalam tebaran persoalan yang luas dan tema besar yang universal dan peribadi, julat watak dan pelakon sejarah yang dimasukkan ke dalam Sulalat al-Salatin dan akhir sekali bahasa yang istimewa terlentur untuk berbagai persoalan, suasana dan situasi.
Bakat sebagai dasar Genius
Mungkin dari awalnya lagi Tun Seri Lanang sudah terkenal sebagai orang yang pandai berkisah, yang mempunyai suara bercerita yang baik dan mungkin juga selalu dirujuk dalam hal sejarah dan sastera, kerana beliau mengetaui hal-hal ini, berbading dengan pegawai-pegawai istana lainnya. Bakat sastera beliau pasti sudah terjelma sebelum beliau dilantik menjadi bendahara. Mungkin sewaktu beliau belasan tahun beliau sudah selalu mendengar tukang cerita lainnya, cuba mengikut mereka dalam gaya dan sebutan. Di dunia sastera bertulis juga beliau pasti sudah melihat beberapa orang penyalin/pengarang membongkok di atas meja rendah, sambil bersila untuk menulis/menyalin karya-karya disukai pada masa itu. Beliau pun sudah beberapa kali mencobanya. Inilah cara biasa seorang anak muda dilatih secara tidak rasmi, dan Tun Seri Lanang pun kemungkinan besar mengikut alur latihan yang agak sama. Kerana untuk menulis di peringkat dan kehalusan karya seperti yang kita saksi pada Sulalat al-Salatin ini sudah tentu pengarang ini harus melatihkan diri secara langsung atau tidak langsung untuk suatu jangka waktu yang cukup panjang. Melihat, mendengar, meniru, mengucap cerita dan berkisah adalah cara dia berlatih. Hasilnya menunjukkan bahawa Tun Seri Lanang adalah seorang yang amat pintar, dan lebih dari itu, adalah seorang yang bijaksana. Dengan kecerdasan alamiah dan perasaan halus serta dalam, beliau telah dapat menangkap dan melukis kembali gerak suara, suasana hati kekasih dan kelicikan politik yang mejalar di atas dan di bawah lantai istana. Beliau juga adalah manusia mulia, bersih, menyanjung dan memperjuangkan manusia dan masyarakat yang baik dan utuh. Dalam waktu sebelum penyerangan Portugis kita lihat bagaimana beliau menangkap jaringan tipis korupsi dalam bahagian akhir sejarah Melaka, yang seterusnya meruntuhkan segala yang baik dan mulia yang telah dibina oleh beberapa generasi sebelumnya. Manusia ditelan kerakusan dan Bendahara Seri Maharaja sendiri terjebak oleh wang pemberian Raja Mendeliar, yang dewasa ini dapat kita baca sebagai rasuah. Kata Bendahara, dengan tanpa banyak bicara, `Baiklah, tuan hamba memberi hamba, hamba ambil.’ (Tun Seri Lanang, 1977:160). Kata hati, kemuliaan diri dan maruah seorang bendahara tercicir sewaktu beliau menerima emas itu. Cerita ini berakhir dengan sedih, kerana cerita ditambah kepada kenyataan, musuh dikumpul dan rancangan dibesarkan, dan akhirnya Bendahara dihukum bunuh oleh Sultan Mahmud kerana dituduh hendak menderhaka. Gambaranya diturunkan dengan tanpa banyak komentar. Peristiwa dibenarkan oleh pengarang untuk berhujah sendiri, dengan cara yang malah lebih berkesan. Inilah di antara pemecah Melaka.
Bakat besar sastera ini berintikan keupayaan menangkap kehidupan, memilih daripada deretan peristiwa yang panjang dengan wawasan dan mata perenung, dan untuk mengolahnya kembali dalam susunan baru di kertas atau suara, dengan bantuan estetika dan kekuatan bahasanya. Pengarang mempunyai peribadi dan pandangan yang selalu menilai, dalam maksud akal yang evaluative - dengan cara langsung atau tidak langsung. Beliau mengambil ukuran nilai agama dan Melayu sebagai landasan. Diambil juga istiadat dan peraturan yang digunakan luas sebagai ukuran. Pengarang menilai dengan kata hati seorang penulis yang sesekali memisahkan dirinya dan berdiri di luar istana untuk menilai istana itu. Inilah suatu situasi yang cukup menyulitkan sesiapa saja, terutama kerana yang dikisahkan itu aialah leluhurnya sendiri, dan yang menjadi penaungnya juga adalah rajanya dan mengikut salasilahnya juga bersaudara dengannya. Namun, nampaknya beliau dapat membebaskan diri daripada raung keluarga dan terus berperanan sebagai pengarang yang lebih bebas dan lebih berlandaskan kebenaran dan keadilan - nilai-nilai yang beliau anggap penting untuk masyarakatnya.
Kata hatinya bukan saja bersifat moralistik tetapi menilai juga di bidang politik, yang tampaknya tidak diperkirakan sebagai terpisah dari etika Melayu. Pandangan beliau tentang kuasa juga berbagai-bagai, tetapi umumnya berlandasakan ukuran moral. Pada suatu sudut beliau menyokong raja yang sah - seperti menyebelah Raja Kasim yang menjadi nelayan setelah adindanya dipilih menjadi Raja Melaka, kerana beliau berhak merebut kembali haknya, dan Melaka tidak harus dikuasai oleh Rokan. Namun demikian apabila seseorang raja melanggar batas-batas yang dianggap suci maka beliau membenarkan orang seperti Tun Biajit (Tun Seri Lanang, 1997:157), mangsa Sultan Mahumud, yang bermukah dengan isterinya, `menimang lembing’ dan memarahi sultan. Sultan dilukiskan sebagai mengaku kesalahannya:
Maka segala hamba raja itu hendak gusar. Maka titah
baginda,`Jangan kamu sekalian amarah, kerana katanya itu benar.
Sebab sedia salah kita padanya, hukumnya patut dibunuhnya
oleh dia. Hamba Melayu tidak mau durhaka mengubah setianya,
maka demikian itu lakunya.’
Lukisan tentang Sultan Mahmud yang lama bertakhta itu mempunyai berbagai jalur dan warna, dibentang dalam berpuluh peristiwa dan perbuatannya. Pada pandangan saya cara ini melambangkan tandanya Tun Seri Lanang cukup saksama, dan selalu menilai dengan kritis. Sultan Mahmud dihukum seperti dalam episod di atas, atau dalam episod Tun Fatimah, yang dibunuh ayahnya dan suaminya, dan dia sendiri dipaksa menjadi isteri kepada sultan. Namun begitu juga dia hampir-hampir dipuji di mana dirasakan perlu, seperti dalam episod setersunya (Tun Seri Lanang: 1997:209)
Ada pun akan Tun Fatimah terlalu sangat percintaannya akan
bapanya. Selama ia diperisteri oleh Sultan Mahmud Syah,
jangankan ia tertawa, tersenyum pun ia tiada penah. Maka baginda
turut masyghul, terlalu sangat menyesal diri baginda.
Hatta maka Sultan Mahmud Syah pun membuangkan kerajaan baginda. Maka anakanda baginda itu, Sultan Ahmad dirajakan
baginda.
Cukup jelas kelihatan bahawa Tun Seri Lanang mempunyai piawai keadilan yang tinggi, dan lebih luas daripada itu mempunyai piawai budaya yang sama tersohornya. Dia sendiri menjadi lambang seorang manusia yang hidup dalam suatu tamadun yang bangga dengan pencapaiannya dan yakin pula dengan apa yang dicapainya.
Gaya yang muncul dari keyakinan diri, tamadun dan kematangan peribadi ialah yang anggun, terhormat dan mulia.
Walau pun manusia harus dinilai perlakuannya tetapi sebagai seorang pengarang Tun Seri Lanang melihat bahannya dengan daya imaginasi yang amat subur, yang membenarkan, dalam lingkungan tradisinya, imaginasi itu mencipta dan menghias, mencari strategi dan rupa pengkisahan yang berkesan tetapi indah. Dalam tulisannya tercantum unsur dialognya dengan sastera lama Melayu dan sastera Islam (termasuk dari India). Cerita Raja Culan turun ke Aftab al-Ard adalah bayangan imaginasi seorang genius. Kita harus membacanya bukan sebagai mitos kosong tetapi sebagai alegori seorang manusia yang sudah menakluki seluruh dunia dan ingin meneroka dunia lainnya, dan ingin juga terus menaklukinya. Sementara itu dunia di bawah laut itu terkurung oleh sempadannya dan hidup dengan nikmat kejahilannya. Raja negeri itu mendengar dengan takjub. Setelah diperkenalkan kepada Raja Culan beliau bertanya, `Adakah dunia lain dari dunia kami ini?’ Dalam soalan Raja Aftab al-Ard terdengar juga jawapan Hamlet kepada Horatio dalam Hamlet Shakespeare,`There are more things in heaven and earth, Horatio,/Than are dreamt in your philosophy.’ Manusia hanya dapat menguasai atau memimpi secebis kenyataan dan khayalan. Di luarnya dunia dan cakerawala masih luas. Cerita di bawah laut ini dikayakan imaginasi, diperkuatkan oleh alegori cakerawala manusia yang tak terbatas. Begitu juga cerita Singapura dilanggar todak dan kisah Puteri Gunung Ledang diabadikan di peringkat mitos dan alegori, yang tidak berjejak kepada kenyataan kasar tetapi berterbangan dengan makna yang lebih sarwa jagat dan dapat dinikmati oleh berbagai golongan manusia dan zaman.
Kita telah saksikan bagaimana Tun Seri Lanang amat cekap menangkap persoalan besar dalam gerak sejarah yang lebar. Tetapi ada suatu lagi cabang bakatnya yang sama mengkagumkan, iaitu menemukan episod kecil yang membawa makna besar, yang menyentuh manusia seluruhnya. Episod begini, biasanya dilakar dengan cara yang agak sederhana, cukup cepat beralih arus dan berubah jadi tragedi, seperti dalam cerita bendahara membunuh diri kerana pintu ditutup sewaktu dia akan datang mengadap raja. Atau kita dapat lihat episod Raja Zainal Abidin, saudara Mahmud Syah yang baik paras,`seorang pun tiada taranya pada zaman itu, baiknya tiada bercela lagi, kelakuannya pun terlalu baik, sedap manis, pantas, pangas.’ Zainal yang tampan dimusnahkan oleh rupanya sendiri kerana dicintai oleh berbagai-bagai wanita dan oleh itu sultan telah murka akan dia.
Bakat bahasa
Tun Seri Lanang menganugerahkan `anak cucunya’ sejumlah kata, baris dan citra, yang kekal dalam bahasa Melayu (dan imaginasi bangsa ini), yang diwarisi dari Sulalat al-Salatin. Kata-kata dan frasa seperti `hak rasanya,’ `sebicara’ `kerincangan,’ `junun,’ `gantal dan lekat’ dan `berbuang-buangkan’ memperkayakan khazanah naratif kita. Kata dan frasa yang tepat menyampaikan maknanya ini pasti diciptakan berkat bakatnya, dan digunakan dalam adunan situasi serta keperluan.
Tetapi di antara hal-hal yang sulit untuk disampaikan ialah perasaan manusia, terutama apabila dibentangkan dalam ruang episod yang terbatas. Tetapi syukurlah kerana Tun Seri Lanang adalah tukang dan ahli dalam seni episod dan vignette, yang dalam ruang kecil dapat memunculkan perasaan seseorang watak dengan cara yang cukup berkesan, bukan saja yang jelas, tetapi juga jaluran-jaluran temaramnya, termasuk rasa merajuk, jengkel, ironi dan sinis, yang terkenal payah itu.
Misalnya dalam episod Seri Nara al-Diraja dititah untuk menangkap wakil Raja Siam di Pahang (Tun Seri Lanang , 1997:17-110), yang bernama Maharaja Sura, anak buah Seri Nara agak tidak sabar kerana ketua mereka masih memburu kerbau liar di tepi sungai sementara yang diburu sudah jauh ke hadapan. Di suatu pihak mereka takut tujuan mereka tidak tercapai dan dimurkai Raja Melaka, di pihak lainnya mereka juga agak takut dengan ketua mereka yang hadir di pasir dan seperti tidak menghiraukan titah ini. Cerita berputar kembali apabila kita diberitahu bahawa strategi Seri Nara Diraja yang agak misterius itu cukup berkesan dan Maharaja Sura dapat ditangkap kerana waktu tindakan disesuaikan dengan tepat sekali. Banyak episod karya ini adalah bentangan halus dan kompleks situasi dan perasaan manusia. Inilah pencapaian besar Tun Seri Lanang yang mengekalkan seni dan cerita-ceritanya dalam khazanah anak cucunya.
Tebaran Persoalan
Seorang pembaca bukan Melayu yang berasal Melaka (dan Johor) akan cepat sedar akan perspektif karya yang berpusatkan kepada kerajaan Melaka dan bangsa Melayu. Inilah tumang penting dan karya ini tidak berubah arah atau kesetiaannya walau pun Melaka telah kalah dan raja mengungsi jauh ke Sumatera. Pandangan dan kecenderungan dapat kita sebut sebagai etnosentrik, yang berpusarkan bangsanya, dengan penuh setia dan rasa benar.
Dalam pandangan dan rangka inilah pengarang menakluki aliran sejarah, mengabadikan waktu yang bergerak pantas dan cepat menghilang itu. Oleh kerana bentuknya berlandaskan sejarah, dan ruang waktu cukup lebar, bergandingan dengan ruang geografi yang sama luasnya, maka hal-hal yang dimasukkan ke dalam karya ini juga amat rencam dan berbagai-bagai.
Oleh itu kita saksikan bahawa pengarang memulakan dari awal lagi - asal usul kejadian alam, dengan pujian kepada Allah s.w.t. dan salawat terhadap nabi Muhammad, sebelum menyentuh benang salasilah raja-raja Melayu. Setelah permulaan ini negeri diperikan pengarang yang memantau bagaimana manusia memulakan masyarakat dan negeri serta memperkembangkannya. Zaman perkembangannya memenuhi sebahagian besar dari karya ini, tetapi beliau tidak lupa untuk memberi ruang kepada gerak kehancurannya, yang juga harus diketahui pembaca semasa dan selepas zamannya.
Dalam berbuat demikian Tun Seri Lanang secara langsung atau tidak langsung mentakrif bangsa, nilai dan jatidiri Melayu, kerana yang dipersoalkan adalah inti pergerakan, fikiran, perasaan, hasrat bangsa itu.
Tapi sastera/sejarah memeriksa juga perjalanan kehidupan dan perlakuan manusia. Sejarah dalam pandangan hidup Tun Seri Lanang dan orang Melayu tidak hanya bercerita tetapi juga menghukum, membuat kesimpulan dan dengan agak langsung, menilai dan menghukum, dan dengan itu menyampaikan makna moralnya. Pengarang menggalur asal-usul raja Melayu, daripada Iskandar Zukarnain hinggalah kepada Sultan Mahmud di zaman pasca-Melaka, di Kampar. Sebenarnya pengarang tidak hanya menurunkan kembali apa yang diceritakan kepadanya, tetapi sebagai pengarang yang besar wawasannya beliau masuk ke gelanggang sejarah dan berdialog dengan zamannya, dengan nilainya, dengan hasrat dan harapan bangsa itu dan akhirnya dengan masa depan. Bingkai geografinya ialah Kepulauan Melayu, tetapi karya ini tidak sempit, kerana segala hubungan bangsa-bangsa di daerah Melayu ini dengan dunia luar juga dijelaskan dan diperikan, dalam rangka fikiran bahawa inilah suatu daerah penting dan hubungan dengan bangsa dan budaya luar yang besar adalah salah satu syarat untuk menumbuhkannya.
Pengarang karya ini hidup dalam dunia akaliah yang lebar. Yang terkuat adalah agama, tetapi berserta dengannya terdapat dunia pemikiran sastera, pentadbiran, undang-undang dan juga adat istiadat. Pengarang harus mengetahui dengan cukup mendalam hal-hal begini kerana beliau seorang yang pasti menjadi rujukan mereka yang ingin penjelasan, tambahan pula beliau bendahara, intelektual terpenting dalam istana Melayu di Johor.
Kita menyebut sebelum ini bahawa sekiranya dicantumkan berbagai-bagai unsur dan sudut unik karya ini maka kita akan dapat mengumpul maklumat yang cukup jelas tentang jatidiri Melayu, yang dewasa ini amat dicari, kerana semua bangsa sedang ditenggelamkan oleh gelombang tsunami arus penduniaan - globalisasi. Untuk terus wujud sesuatu bangsa itu bukan saja perlu wajah dan jasad tapi juga jiwa atau akalbudi yang mengakarkannya kepada negara, tanah, bahasa dan budaya. Inilah dunia samar jatidiri, dan di seblaiknya pula ruang besar akalbudi. Wanita yang dipingit dan diingini lelaki dan raja, keghairahan beragama, adat istiadat yang menjadi ritual kerajaan, keprihatinan pegawai dan pemerhati, rasa bangga menggunakan bahasa yang halus dan patut, pengorbanan untuk Melaka dalam melawan musuh, dan segala perasaan yang halus bangsa itu - semuanya diperikan dalam berbagai cara, situasi dan jalur warnanya.
Dalam jala besar sejarah dan naratif karya ini ditangkap visi dan mimpi bangsa Melayu, yang mulanya kecil dan terpisah jauh di sudut pulau dan semenanjung, tetapi akhirnya disatukan dan berdiri megah dengan negara-negara lain, termasuk China dan Benua Keling (sebahagian dari India). Dalam beberapa episod ceritanya mimpi ini dapat bermula dari seorang manusia, tetapi akhirnya dikembang sehingga menjadi mimpi negara, seperti yang kita saksikan pada Tun Perak, Hang Tuah dan Hang Kasturi.
Suatu hal yang sering kita perhatikan dalam cerita-cerita Sulalat al-Salatin ini ialah apa yang dinamakan sebagai `contact and collusion.’ Manusia dipertemukan, berbaik, bekerja sama, tetapi kadang-kadang berlaku perselisihan pendapat dan arah. Namun begitu Tun Seri Lanang tidak selalu muram, kerana dalam karyanya sering dicari penyelesaian antara wataknya. Ini politik dan perasaan manusia, rasa dan kuasa dibenarkan mengalir bersama.
Namun begitu pengarang memperlihatkan suatu kesedaran sejarah yang panjang dan terlibat. Pada dasarnya karya ini adalah sejarah raja-raja Melayu Melaka dan jajajahannya, yang dijalinkan melalui sebuah salasilah. Beliau cuba menangkap sejarah sebagai pengalaman bangsa - yang tidak dilukis hanya sebagai peristiwa kosong, tetapi dianggap sebagai hasil langsung dari perlakuan dan perbuatan manusia itu. Oleh yang demikian ada akibat dan kesannya. Jadi setiap peristiwa bermakna, menjadi tangga kepada suatu rumah makna, dalam hubungan sebab-akibat yang cukup penting. Menyusun peristiwa tidak terpisah daripada perbuatan menyusun makna untuk dijadikan kesimpulan tentang kehidupan.
Tun Seri Lanang melihat sejarah sebagai seorang moralis Melayu, dengan dasar yang agak simpel dan diyakini - perbuatan yang baik akan dibalas baik, dan perbuatan yang jahat bukan saja akan merosakkan diri seseorang tetapi juga memusnahkan negaranya.
Inilah suatu pendekatan moral terhadap sejarah dan manusia - yang dapat dipandang sebagai lebih filosofis and berakar kepada pandangan hidup orang Melayu, dalam agama-agama Hindu dan Islam.
Rumusan dari pengalaman luas ini terserlah dalam dunia kebangsaan (Melaka), manusia kebangsaan yang penuh imaginasi dan perasaan bangga-bangsa. Jatidiri bangsa dapat dilihat dalam cara berfikir, cara berperasaan dan cara berbuat. Bahasa yang menangkap semua ini bersama membayangkan jatidiri ini pula.
Yang amat dipentingkan dalam adikarya ini juga ialah kedatangan dan penyebaran agama Islam di Kepulauan Melayu, yang bermula di pantai Barat Sumatera dan seterusnya menyebar hinggalah ke pulau-pulau lainnya.
Walau pun sejarah pusat dipentingkan, dan inilah sudut pandangan Melaka, namun ada juga negeri-negeri yang sama kuat seperti Pasai dan Majapahit, yang diberikan ruang dan fokus. Oleh yang demikian kita melihat raja-raja negeri ini dan kejayaannya diberi tempat yang hak. Pengarang memperlihatkan betapa Melaka menghormatinya. Misalnya dalam kutipan berikut (Tun Seri Lanang, 1997:61-62) disebut tentang cara menyambut surat dari Pasai,
Jikalau seperti surat dari Pasai dijemput dengan selengkap alat
kerajaan - nafiri, nagara, payung putihdua berapit. Gajah dikepilkan
di ujung balai, kerana raja dua buah negeri itu sama, jikalau tuan
muda sekali pun berkirim salam juga.
Apakah dalam baris-baris ini ada sedikit dekonstruksi terhadap pusat, terhadap pandangan etnosentrik? Sekiranya boleh maka sekali lagi Sulalat al-Salatin juga dapat dianalisa dari sudut teori terbaru dekonstruksi.
Sebagai kesimpulan, pembaca sedar bahawa Tun Seri Lanang menyukai bukan saja tema-tema sarwa jagat tetapi juga yang menyentuh hati kecil manusia kerdil. Beliau prihatin terhadap semua jenis pengalaman, dari yang gembira kepada yang sengsara. Pergerakan besar mendapat tempatnya di samping yang kecil, tapi bermakna. Dalam peristiwa dirumus maksud dan makna sejarah. Di akhirnya beliau cuba membayangkan kemungkin bangsa, mimpi besar bangsa Melayu, usaha, kejayaan dan dan kegagalannya.
Tema-tema Besar
Sekiranya kita pantau kerja-kerja genius sastera dunia kita akan menemui hakikat bahawa mereka amat pandai memilih tema, dan dalam pemilihan ini mereka mencari yang lebih besar dan sarwa jagat sifatnya, yang akhirnya juga melampaui sesuatu zaman. Persoalan cinta antara dua darjat kita temui dalam Shakespeare melalui Romeo dan Julia; dalam karya-karya Goethe kita disedarakn kepada kerumitan kesengsaraan anak muda yang sedang mengenali hidup. Dr Faustus menghujah makna ilmu yang dicari tanpa batas etika. Dalam Ramayana pula kita dibawa ke pentas pertempuran antara baik dan jahat, serta kesucian seorang wanita. Tema-tema ini diulang kembali sepanjang sejarah manusia, dalam berbagai bentuk. Oleh yang demikian kita juga lihat Laila dan Majnun, Love Story, Uda dan Dara dalam tiga buah budaya yang amat berlainan, dan masih dikarang hari ini cerita yang mengisahkan masalah ini.
Yang menjadi arus Sulalat al-Salatin ini ialah gerak nasib manusia dalam sejarah, gerak naik-turun bangsa, jalur-jalur zaman yang mewarna manusia dan kerajaan. Maka banyak pula kemungkinan tema penting dilatardepankan. Dan Tun Seri Lanang tidak melepaskan peluang untuk membentangkan tema sejagat kerana beliau merasakan bahawa pengarang yang penting harus dapat menangkap persoalan penting dalam berbagai situasi manusia. Oleh yang demikian beliau menggali makna dari perselisihan di antara dua kumpulan Melayu, Tun Perak dan Seri Nara al-Diraja, dan seterusnya sebelum kekalahan Melaka di antara Bendahara Seri Maharaja dan Laksamana. Makna mujarad kemenangan dan kekalahan dilukiskan dengan garis besar serta halus. Yang dialami dalam gelanggang besar sebuah negeri juga digandingkan peristiwa yang lebih individu sifatnya dengan makna perbadi pengalaman ini.
Tema yang sering diulang dalam Taj al-Salatin dan Bustan al-Salatin, dan yang sering merundung kerajaan Melayu - keadilan dan kekejaman - diulang pula dalam adikarya ini. Dari episod Sang Rajuna Tapa, kepada penjajahan Melaka, dan tidak lupa kepada sifat maharajalela Sultan Mahmud Syah, kekejaman Melayu dirangkai dalam banyak bab karya ini.
Semua yang saya sebut ini adalah tema besar, agak samar dan mujarad, yang menarik pengkaji seperti kita. Tetapi Sulalat al-Salatin juga menangkap imaginasi pembaca biasa dengan cerita kesetiaan Hang Tuah, dan derhaka Hang Kasturi, kecantikan Tun Fatimah yang hampir mengorbankan dirinya sendiri, hak wanita dan hak orang Aslian dsb. Sulalat al-Salatin telah memulakan sejumlah tema Melayu dan juga team sarwa jagat, dan kerana kebenarannya maka pengarang-pengarang setelahnya, terutama pada kurun kedua puluh, telah merasakan betapa Tun Seri Lanang bukan saja berdialog dengan zamannya tetapi juga dengan anak cucunya di kurun kedua puluh ini. Maka tema-tema ini (dan ceritanya) telah dikitar kembali dalam berbagai buah buku, drama, sajak dan cerpen. Kepadanya ditambah bakat pengarang berkenaan dan juga tafsiran khusus dirinya dan zamannya.
A.Samad Ahmad, yang akhirnya menjadi pengkaji Sulalat al-Salatin yang penuh dedikasi dan ghairah, menulis buku yang mendapat ilham dari karya sejarah ini, malah karyanya tersebar luas dan digunakan di sekolah, misalnya Laksamana Tun Tuah dan Zaman Gerhana. Seterusnya dalam bentuk lain kita saksikan Dang Anum yang mendasarkan ceritanya kepada episod Sang Rajuna Tapa dan Singapura dilanggar todak.
Pengarang esei ini sendiri menulis sebuah buku sajak yang diilhamkan oleh berbagai tema dalam Sulalat al-Salatin. Buku itu berjudul Sajak-sajak Sejarah Melayu. Tafsiran penyair dari awal lagi telah dicantumkan kepada dasar asalnya. Misalnya ditulis sebuah sajak pendek yang bermula dengan mengutip dari bab kedua puluh empat, yang berbunyi seperti berikut: `Maka kata pula Raja Pahlawan, “Lain surat, lain dibaca; remuk hati di Tanah Pasai, jangan mati di Tanah haru; jikalau dimakan anjing Pasai pun biarlah sebab sepatah ini.”’
Kepada seseorang penyair persoalan bahasa, kebenaran dan juga kesetiaan terhadap makna amat penting sekali. Maka dengan ghairah Raja Pahlawan diciptakan sebagai memarahi sikap Pasai yang tidak menghormati tulisan dalam kiriman Sultan Melaka,
cih, pasai yang tiada sayang pada bahasa,
pada rasa dan hati yang dikandunginya.
ayat dilengkungkan dengan pembacaan,
makna dipindahkan kepada kehendak.
tiada akan besar bangsa
yang tiada kasihkan bahasanya
tiada kebenaran pada manusia
yang tidak dapat melihat kenyataan.
biar kusampaikan juga makna surat di sini
dengan keris dan amuk baru
kenyataan harus dihantarkan juga
kepada pasai yang leka.
Bakat besar Tun Seri Lanang tidak sedikit menumbuhkan daunnya di zaman kita ini. Pengarang moden mengutipnya untuk membawakan makna kontemporer dengan tafsiran semasa. Inilah yang dilakukan oleh Taufik Ikram Jamil dari Riau dan akan dilakukan oleh suatu siri televisyen di Malaysia, yang saya difahamkan, akan terbit tidak lama lagi.
Terjalin dalam tema manusia dan drama hidupnya ialah pemerian istiadat, undang-undang Melaka dalam perlaksanaan. Seni bina istana yang melambangkan kemakmuran dan keunikan Melaka dilukis berus halus (Tun Seri Lanang, 1997,101):
Besar istana itu tujuh belas ruang, ruangnya tiga-tiga depa,
besar tiangnya sepemeluk, tujuh pangkat, kemuncaknya pun
tujuh.Pada antara itu diberinya berko’. Maka pada segala ko’ itu
diberi gajah menyusu(dan pada gaja menyusu) itu diberinya
bubungan melintang; sekalinnya bersayap layang-layang dan
sayap layang-layangnya itu semuanya berukir…
Tapi sayangnya istana ini di terbakar dan dibina kembali suatu kompleks yang lengkap dan lebih megah. Cukup menarik bahawa istana itu juga membayangkan simbol penyatuan jajahan Melaka kerana tukang yang membinanya dibawa dari beberapa pulau di Selat Melaka dan Sumatera (Tun Seri Lanang, 1997:103):
… maka orang Ungar{an} dan Orang berbuat istana,
sertanya orang Bentan Karangan beramu akan dia,
orang Pancur Serapung berbuat balairung, orang Buru
balai mendapa, orang Syoyar berbuat dia balai itu,
balai apit pintu yang di kiri itu, orang Sayung berbuat
dia kandang, orang Apung berbuat dia danu gajah,
orang Merbau berbuat dia penaggahan, orang Sawang
berbuat dia danu permandian, orang Tungkal berbuat dia
danu mesjid, orang Tentai berbuat dia pintu pagar istana, orang Muar berbuat dia kota wang.
Bangsa Melayu adalah bangsa yang ghairah dengan politiknya. Masalah kekuasaan, siapa yang menjadi raja dan berkuasa, puak dan penyokong menjadi persoalan abadi. Sulalat al-Salatin memberi ruang yang luas dan bersambungan kepada bentuk dan cara-cara raja dan pegawai mendapatkan kuasa ini dan bergaduh atau bersatu untuk mengekalkannya.
Terjalin rapuh di antaranya ialah masalah hak wanita.Walau sering wanita dianggap sebagai barang dan hiasan lelaki, namun sesekali hak wanita dilatardepankan. Biasanya watak-watak yang agak kuatlah yang merebut kuasa ini kerana jarang sekali kuasa diserahkan oleh lelaki. Tun Fatimah yang menggugurkan anaknya dengan Sultan Mahmud sebagai protes terhadap kekejaman baginda membunuh suami dan ayahnya dan memaksanya menjadi isterinya. Tiada protes yang lebih agung dari meniadakan zuriat dari jurai yang dianggap mulia dan bermula daripada Iskandar Zukarnain. Akhirnya Sultan telah berjanji akan merajakan anaknya sekiranya Tun Fatimah terus menjaga kandungannya. Inilah hak yang diperjuangkan oleh seorang mangsa raja lelaki yang tidak dapat mengekang diri atau perasaannya. Seterusnya episod Puteri Gunung Ledang juga boleh dibaca sebagai protes wanita yang biasanya dianggap tidak berkuasa. Dalam permintaan Puteri itu, sebagai hantarannya disyaratkan darah anak raja sendiri. Apakah ini dapat dibaca sebagai ejekan raja yang selalu merasakan dia akan mendapat apa saja yang dihajati, dan begitu kaya dia dapat menyediakan segala-galanya? Pengarang ini seperti berkata bahawa masih ada orang yang tidak boleh dibeli dan ada syarat yang tidak mungkin dipenuhkan, walau pun oleh Raja besar Melaka. Kedua-dua peristiwa ini boleh dibaca sebagai unsur feminis awal dalam karya Melayu. Sebab itu juga karya ini diperkirakan besar, kerana banyak hal boleh ditemui di dalamnya, termasuk unsur-unsur yang dapat ditafsirkan dari sudut aliran pemikiran terbaru, yang tidak pun terbayangkan oleh pengarang asalnya.
Beberapa nilai juga mendasari karya ini - kesetiaan rakyat kepada raja, dan janji bahawa raja tidak mengaibkan rakyatnya, betapa pun besar kesalahannya. Kesetiaan menemui berbagai wajah dan penyempurnaannya. Pengaiban juga tidak kurang leluasanya, dari penyulaan anak Sang Rajuna Tapa yang ternyata tidak bersalah, hinggalah kepada Tun Fatimah yang menjadi mangsa lelaki.
Sama pentingnya ialah keadilan. Sering tema ini diulang di sepanjang karya besar ini, kerana sering pula kebenaran dikesampingkan untuk dibenarkan hasrat atau kerakusan raja atau pegawainya. Jadi pengarang mengulangkan situasi yang berbagai-bagai ini untuk menggarisbawahi betapa petingnya nilai ini untuk kelangsungan bangsa, manusia dan raja serta negeri.
Sulalat al-Salatin juga menyanjung ilmu dan orang berilmu. Dalam sebuah episod Sultan harus meninggalkan gajahnya dan berjalan ke rumah gurunya sebagai pelajar biasa, kerana dalam bidang ilmu tiada yang lebih tinggi dari guru, walau pun dia seorang sultan negeri yang besar. Begitu juga mereka yang pandai dalam bidang ini dihormati dan dijadikan `makhdum’, kadhi dsb.
Pembaca (khususnya pegawai) sering diajar bagaimana menjadi pentadbir yang baik, suatu lagi masalah yang nampaknya amat mengganggu kerajaan Melayu. Jadi bendahara dan raja sering berpesan kepada pegawai dan anak cucunya, kadang-kadang dengan nafas terakhir mereka, supaya berlaku adil kepada rakyat dan terus menjaga mereka dengan baik, kerana mereka menjadi akar kepada pohon negara. Tanpa rakyat tidak mungkin wujud raja atau pentadbir.
Oleh itu nilai-nilai dasar Melayu yang kekal ditekankan. Manusia Melayu diajak menjadi manusia moral, berkata hati, berbudi bahasa dan setia membangunkan negerinya.
Julat Watak dan Pelakon Sejarah
Sulalat al-Salatin melibatkan dirinya bukan saja dengan persekitaran alamiah, tetapi secara lebih besar lagi dengan manusianya. Karya yang amat peka ini menyusup di bawah permukaan kata dan perbuatan. Pengarang menyelam masuk ke lautan kehidupan untuk menggambarkan berbagai-bagai watak dan pelakon sejarah. Beliau menangkap garis-garis sepunya manusia, persamaan yang mendalam di antara mereka. Oleh yang demikian kita dibayangkan dengan bermacam-macam situasi di mana manusia mengejar kuasa, dan mengatur usaha mengekalkannya dan juga memberi makna kepada kuasa itu. Pengarang melihat ke dalam apa yang dipanggil Reiss (1992:4) sebagai hal-hal kekal lagi mendalam tentang manusia `deep permanancies of human beings.’
Karya-karya besar seperti Genji Monogatari, Odysseus, Mahabharata serta King Lear dan La Galigo membawakan sejumlah watak atau pelakon sejarah yang cukup ramai dan mengesankan. Setiap watak penting ini dilukiskan dengan warnanya sendiri dan disalut oleh keunikan peribadinya. Inilah yang membuat wataknya kekal dalam ingatan pembaca serta bangsanya. Demikianlah kita mengingati Odysseus yang mengembara jauh dengan keberanian dan kepimpinan. Demikian juga kita mengingati Genji dan kekasih-kekasihnya. Mahabaharata termuat sarat dengan perselisihan dua puak yang saling bersaingan dan bermusuh-musuhan. King Lear pula terkenal kerana bukan saja watak raja itu yang menuntut kasih dari anaknya dan merajuk setelah tidak tercapai tujuannya, tetapi juga kelainan ketiga anaknya, dari Cordelia yang lembut hinggalah Regan yang keras tegar, dan kering dari kasih sayang.
Dalam Sulalat al-Salatin, seperti juga Hikayat Hang Tuah, kita dihadiahkan dengan sejumlah watak yang amat mengesankan, dari kalangan raja, melalui bendahara, temenggung, hinggalah kepada perwira, mufti dan batin masyarakat Aslian. Kita mengingati mereka kerana walau pun mereka muncul dalam jumlah yang besar namun demikian setiapnya dilengkapkan dengan sifat-sifat kekhasannya sendiri, atau apa yang disebut dengan particularity.
Tun Perak terkenal dengan kebijaksanaan dan logikanya yang luarbiasa, Raja Zainal Abdidin pula tampan dan menjadi penunggang kuda yang romatis, melalui lorong pasar dan kampung, Seri Wak Raja yang berkahwin sewaktu beliau agak tua cukup gembira dengan penyelesaian masalah yang menganugerahkannya seorang bekas isteri raja yang terkenal cantik. Seterusnya kit amenemui Maharaja Sura dari Pahang, yang kehilangan kerajaannya setelah dia tidak mempedulikan gajah kesayangannya, Batin Singapura, Patih Ludang yang dibunuh anak buahnya walau pun setelah mendapat persetujuan Sultan, mungkin kerana dia orang Aslian, Sultan Alauddin dan gerakan keamanan Melaka, Raja Maluku yang pandai bermain sepak raga dan senjata, Raden Surabaya/Patih Adam yang menggemparkan negeri dengan mengepung rumah Seri Nara Diraja untuk mengambil Tun Minda, isteri yang dijanjikannya dalam guraun beberapa tahun sebelum itu. Semuanya dilukis dengan palitan cat yang khusus, dengan situasi dan wataknya sendiri. Ada keuinkan kepada cara dan lakuan mereka. Oleh yang demikian kita dapat dengan mudah menyimpannya dalam diri dan pengalaman sastera kita.
Dari antara berpuluh watak ini kita menemui wira bangsa Melayu, yang kadang-kadang mencapai peringkat mitos, dan menjadi kekasih negara untuk berbagai-bagai zaman. Watak Tun Perak yang mempunyai logikanya sendiri, Sultan Alauddin yang gagah lagi berani, Sultan Mahmud yang lama memerintah, Gajah Mada yang licik dan penuh tipu helah, dan malah Hang Isak Pantas yang cepat bekerja, Badang yang mencapai kuasa jasmaniah luar biasa dari muntah halimunan adalah di antara wakak yang kekal dalam imaginasi bangsa Melayu. Tetapi terdapat juga beberapa orang anti-wira seperti Tun Mai Ulat Bulu yang mengejek orang Arab yang mencari kepentingan sendiri, Megat Seri Rama yang cepat mencarut, Makhdum Sadar Jahan yang bertaubat tidak mahu mengajar Tun Mai kerana dia memulang paku buah keras dengan mengejek caranya menutur bahasa Melayu, Mi Duzul yang rabun yang menyangka kambing sebagai musuhnya, Hang Hasan Cengang yang tidak mahu berhenti makan sewaktu bersuapan-suapan di pelamin, kerana katanya, dia mengeluarkan belanja yang banyak, Bendahara Seriwa Raja yang pelaram yang cukup melucukan.
Yang luar biasa tentang perwatakan Sulalat al-Salatin ini ialah jalinan berbagai jenis watak - daripada yang serius, kepada yang lucu, ironis, gagah, setia, pencarut, pemain sepak raga, pahlawan yang setia dan pemberontak, penjaga gajah, ayam dsb. Jadi kita dianugerahkan dengan suatu julat yang nampaknya memuatkan amat banyak jenis manusia. Mungkin di suatu pihak lain kita bertemu Mi Duzul, Hang Hasan dan manusia sejenisnya dalam konteks kegila-gila bahasa, dan membawakan kelucuan yang kadang-kadang cukup canggih seninya. Namun begitu semuanya terbina dalam tradisi lucu imaginasi bangsa. Mereka tahan dalam hakisan waktu kerana dicerita dengan bakat besar dan teknik naratif yang tahan ulangan.
Seperti tema diulang tafsir, ditulis tentangnya oleh beberapa zaman maka watak-watak ini, khususnya yang diangkat ke taraf mitos, juga diulang tafsirkan, kerana mereka juga membawa watak bangsa Melayu, keunikan dan kebijaksanaan, walau pun logikanya mungkin aneh untuk masyarakat umumnya. Setengah daripada mereka menjadi contoh, diangkat menjadi lambang negara.
Sulalat al-Salatin bukanlah hanya sebuah sejarah bangsa tetapi sebagai sub-plotnya kita dibawa melalui suatu lorong-lorong kecil perisitwa bangsa Melayu dan bangsa-bangsa yang berhubungan. Sementara banyak unsur sejarah yang dapat dianggap sebagai berunsur sejarah karya ini juga memasukkan unsur-unsur fiksi dan pembesaran yang mengasyikkan.
Karya ini melukis bangsa Melayu di banjaran kejayaannya. Pengarang melukis pencapaian bangsanya, sewaktu bangsa berada di puncak sejarah. Oleh yang demikian diceritakan tentang kebolehan dan kemungkinannya, kekuatan dan kehalusannya. Mereka ditempatkan di tengah kota kosmopolitan atau di anak sungai untuk mentadbir negeri. Mereka harus berhadapan dengan berbagai-bagai jenis penduduk dan pendatang, semuanya dengan budaya dan caranya. Oleh yang demikian kita dibawa kepada suatu padang sejarah yang luas dan pelbagai.
Bahasa Perasa dan Pemikir
Dalam pengenalan kepada Sejarah Melayu yang dieditnya, Abdullah Munsyi (1959, edisi Gunung Agung: 13) mengatakan bahawa `jikalau engkau belajar akan kitab ini sampai engkau faham sekali akan bahasanya dan ertinya … engkau telah pandai akan bahasanya … barang siapa yang tiada mengendahkan bahasanya seperti kelakuan orang Melayu itu, maka itulah tinggal dalam bodoh dan menjadi bangsa yang kecil adanya. Maka jikalau engkau hendak mengetahui akan sebabnya barang siapa yang membuangkan bahasanya itu maka akan menjadi bangsa kecil dan hina, maka inilah sebabnya.’ Karya ini dianggap sebagai contoh bahasa yang halus, yang harus dikaji, walau pun isinya `sia-sia.’
Abdullah yang jarang dapat menurunkan kata-kata baik tentang raja dan orang-orang Melayu nampaknya melihat suatu sudut halus sastera Melayu, di sini seperti yang dibayangkan oleh adikarya bangsa itu.
Sifat yang utama karya ini ialah keunggulannya, kehalusan melukis watak atau nasib manusia. Kata-katanya terpilih dan suaranya merdu dan prihatin. Lihat, misalnya, bahagian permulaan bab XIX (Tun Seri Lanang, 1997:140) yang menceritakan Pahang dan Tun Teja:
Alkisah maka tersebutlah perkataan Sultan Mahmud Syah,
Raja Pahang yang tua itu telah mangkatlah. Maka anak baginda
Sultan `Abdul Jamal kerajaan menggantikan ayahanda baginda.
Adapun akan Bendahara Pahang tatkala itu Seri Amar Wangsa al-
Diraja gelarnya akan dia, beranak seorang perempuan, Tun Teja
Ratna Menggala namanya, terlalu baik parasnya. Dalam Tanah Pahang seorang pun tiada samanya pada zaman itu; pada barang lakunya sedap manis, tiada berbagai. Itulah sebabnya maka diikatkan orang nyanyi, demikian bunyinya,
Tun Teja Ratna menggala,
Pandai membelah lada sulah;
Jika tuan tidak percaya,
Mari bersumpah kalam Allah.
Walau pun kata-kata ini disusun dari pemerian sastera lama tetapi cara Tun Seri Lanang memberi rentak dan memaniskannya dengan pantun itu amat berkesan sekali. Suasana pemeriannya ringan dan riang, serta disulami sopan santun sastera.
Inilah suatu bahasa yang matang, yang telah pun digunakan oleh beratus pengarang, untuk suatu jangka waktu yang cukup panjang. Kita menyimpul bahawa yang kita baca ini adalah hasil dari pengalaman yang telah masak oleh ujian. Tun Seri Lanang yakin dengan bahasanya. Bahasa ini pula yakin akan strukturnya. Pengarang dapat berubah daripada pemerian istana Pahang yang lebih rasmi bentuknya, kepada pemerian kecantikan peribadi seorang puteri. Setelah itu beliau menutup dengan pantun yang separuh berbahasa lisan dan separuh berbahasa istana.
Tetapi di tempat lain kita diberikan berbagai-bagai bukti betapa sedarnya pengarang ini kepada kekayaan budaya dunia dan juga sumbangan yang dapat diberikan kepada bahasa Melayu. Telah kita sebutkan contoh-contoh kata asing yang digunakan seperlunya, dengan sedikit rasa keinginan mempamerkan kebolehannya (yang boleh dimaafkan), kerana pada perasaan saya, tidak berlebihan atau secara menjolok.
Sering pula pengarang harus lama duduk mencari kata dan strategi naratif untuk melakarkan persoalan baru. Misalnya peperangan Melayu-Portugis memerlukan kata-kata baru untuk istilah senjata dan kapal. Begitu juga istilah khusus untuk bahagian-bahagian istana dan persoalan agama dan tafsir.
Sulalat al-Salatin hidup, malah berdrama di depan kita. Walau pun pada dasarnya karya ini harus memeri keadaan dan perjalanan waktu, namun dalam strategi pengkisahan yang digunakan bukan sahaja naratif ceritaan, tetapi watak-watak dibenrakan berkata, berperasaan dan berbalahan. Pertemuan dan percakapan watak melakonkan persoalan, atau memberi suara yang lebih nyaring kepada gagasan pengarang, tetapi karya ini mendapat nadi daripada perasaan watak dan rentak kata-kata mereka.
Dalam naskhah aslinya kita tidak akan menemukan tanda berhenti atau koma, namun demikian kita dapat mencipta kembali patah-patah frasa dan rentak rhetorikanya. Dialog membayangkan kenyataan suara dan manusia dengan lebih berkesan daripada pemerian langsung.
Oleh yang demikian kita diberikan peluang untuk mendengar suara pelakon-pelakon di halaman kertas baru, walau pun suara yang kita dengarkan itu adalah ciptaan baru yang kita dasarkan kepada pemerian dan pengalaman kita sendiri. Namun begitu kesan karya ini dihidupkan oleh penciptaan kembali terhadap cerita dan wataknya.
Kenyataan juga ditangkap melalui cerita dalam cerita, seperti sebuah teleskop kisah yang boleh dimasukkan ke dalam yang lebih awal atau yang lebih besar.
Jarang kita dengar/baca yang dibuat-buat dalam Sulalat al-Salatin. Hampir setiap halaman mempersembahkan bahasa yang cukup sederhana tetapi tepat dan patut. Pengarang bukan saja tahu dirinya tetapi tahu juga bahasa yang sesuai dan dapat digunakan dalam berbagai-bagai keadaan. Seterusnya bahasanya tidak berpusat kepada dirinya, walau dirinya penting.
Watak-wataknya dibenarkan meneruskan kehidupan sasteranya, dan pengarang menghormati mereka. Ruang yang sesuai diperuntukkan kepada mereka.
Salah sebuah teori tentang bahasa sastera ialah bahawa bahasa ini adalah sesuatu yang dianehkan. Walau apa pun takrif aneh yang mungkin diberikan, saya merasakan bahawa bukanlah tujuan utama pengarang untuk menganehkan bahasa atau peristiwanya. Tetapi oleh kerana bakat yang tajam pandangannya melihat peristiwa dari sudut yang agak berlainan maka seluruh wajah pengalaman atau peristiwa menjadi sedikit berlainan dari biasa. Tetapi keanehan ini jugalah yang memberikan kita pengalaman sastera yang agak berlainan dan memuaskan pengalaman estetik kita.
Kita telah beberapa kali menyebut tentang kias dan ibarat yang digunakan dalam cerita todak melanggar Singapura, Puteri Gunung Ledang dan Raja Culan. Selain dari cara berkisah, ini juga adalah cara menggunakan bahasa. Dalam episod-episod ini teknik bahasa yang mengapungkan cerita di atas kenyataan juga terlibat dalam seluruh naratifnya. Melalui teknik dan bahasa ini, akhirnya makna di seberang waktu dapat dicapai sebagai legenda dan mitos.
Sulalat al-Salatin diperakui ramai sebagai kaya dengan imaginasi bahasa. Bentuk wacana untuk menggambarkan hidup yang kompleks dengan watak dan peristiwa bebagai-bagai mengalir dan berubah dengan keperluan. Oleh yang demikian kita mempunyai mukadimah dari contoh Parsi, bahasa salasilah yang cepat bergerak, patah-patah kalimat cepat mengulang gantian generasi. Tetapi dalam pemerian wanita cantik atau hutan bahasa ini lebih beralun dan mungkin ditambah dengan `nyanyi,’ bentuk pantun yang disukai ramai, dan sempurna untuk bercerita. Di tempat lain terlihat pula bahasa tafsir al-Quran, atau bahasa ilmiah yang dikuatkan dengan peribahasa dan kutipan dari buku lama. Inilah bahasa yang amat lentur dan dapat diubah untuk berbagai-bagai keperluan dan keadaan.
Sulalat al-Salatin juga cukup luar biasa kerana menggunakan berbagai-bagai bentuk dan jalur ucapan dalam wacananya. Berdasarkan suatu prosa teras kelasik kurun ke-16 dan 17 kita lihat bahawa pengarang cuba melaksanakan tugasnya untuk menulis sebuah sejarah bangsa itu.
Pengarang ini kemungkinan telah belajar, atau sekurang-kurangnya, berkongsi tradisi sasteranya dengan Hikayat Raja-raja Pasai. Walau pun kelihatan bersahaja wacana yang digunakan Tun Seri Lanang adalah suatu campuran berbagai jalur ekspresi yang dimatangkan oleh kegunaan dan aliran waktu. Oleh yang demikian kita menemui naratif sejarah sebagai terasnya, di sepanjang 31 bab versi awal (atau Pasir Raja) dan 34 bab (versi Batu Sawar). Bentuk itu terbukti luwes, dapat digunakan untuk sejarah dan digabungkan dengan wacana bentuk lainnya, dan pada dasarnya sudah tercipta, walau pun dalam bentuk yang lebih mudah. Dari dasar inilah Tun Seri Lanang membina naratifnya. Beliau memasukkan, di suatu pihak, naratif rasmi, yang dekat kepada sejarah, dan di suatu pihak lainnya, yang tidak rasmi, yang membawakan episod yang dekat kepada cereka. Namun begitu di antara wacana sejarah dan wacana peribadi/cereka ini terjalin wacana kecil humor serta tragedi, yang membenarkan pengarang menjangkau daerah pengalaman yang luas dan dalam.
Akhir sekali wacana yang menyediakan simbol dan citra untuk wacana bangsa itu adalah bahasa yang padat, halus, luwes, tepat, tetapi boleh beralun, berperasaan dan sesekali taksa untuk keperluan kritikan dan ejekan.
Genre Sejarah Melayu
Karya-karya Melayu terkenal kerana genrenya yang bercampuran. Sulalat al-Salatin juga meneruskan wajah dan struktur campuran ini. Walau berdasaran sejarah, seperti sudah disentuh sebelum ini, kadang-kadang sejarah meringan dan cereka mengambil alih. Dalam bahagian-bahagian begini karya berkomunkasi dengan pembacanya melalui kekuatan cereka, dengan watak yang bertindak di pentas cerita. Untuk menawan pembacanya pantun/nyanyian ditambah. Dialog dibenarkan menjadi teras kepada drama antara manusia.
Episod digunakan sebagai unit cerita, yang akhirnya bercantum menjadi keseluruhan yang utuh. Tetapi semua unit cerita ini disimpulkan oleh simpai moral dalam tradisi lama Asia.
Khalayak
Khalayak karya ini sudah melalui hampir empat kurun. Kita tidak dapat melukis khalayak sebelum zaman kita, melainkan yang kita alami sendiri beberapa puluh tahun ini. Tapi oleh kerana persoalannya beraneka ragam dan strategi naratifnya juga berbagai-bagai maka khalayak sasarannya juga berbagai-bagai pula. Cerita Singapura dilanggar todak sendiri boleh dibaca sebagai cerita raja yang bodoh, atau cerita aneh ikan yang melanggar pantai oleh khalayak anak-anak. Tetapi untuk orang di perguruan tinggi, tafsirannya boleh dibawa kepada kerajaan dan pentadbiran yang anti-intelektual dan yang mengongkong perkembangan bangsanya, kerana yang pintar dan dapat menyelamatkan bangsa itu dimusnahkan oleh orang yang takut akan kuasanya dirampas. Ini juga dapat dibaca sebagai wacana politik tentang pergeseran dan pengekalan kuasa.
Sulalat al-Salatin kaya dengan makna dan di dalamnya lapisan makna. Oleh yang demikian kitab ini boleh dibaca dari beberapa sudut, dari yang mudah kepada yang rumit dan berjaringan, serta misterius. Khalayak buku ini boleh umum, dan boleh juga khusus. Yang mencari salasilah akan mendapat maklumat dari sini, begitu juga yang inginkan sejarah kepulauan Melayu, kedatangan Islam, perkembangan Melaka, peraturan, ritual dan adat istiadat, cerita tentang raja-raja, pentadbiran, peperangan dsb.
Yang berminat kepada agama ditawarkan hal-hal agama, termasuk tafsir dari Durr Manzum, cara berlagak kadhi berketurunan Arab, raja berhari raya, dan cara sesuai belajar agama dsb.
Ramai yang menyanjungi bahasa Sulalat al-Salatin, oleh yang demikian inilah medan bahasanya yang cukup luas dan penuh dengan hidangan berbagai-bagai.
Karya ini begitu beraneka sasaran dan minatnya, maka permintaannya juga berbagai-bagai. Setiap generasi dapat membacanya dan mengalami dari sudut zamannya, dan juga cara berfikirnya. Kita masih ingat lagi pada tahun-tahun sebelum 1950an beberapa bab daripada kitab ini dibaca sebagai pelajaran bacaan untuk anak-anak sekolah. Tetapi bab yang sama boleh juga dijadikan bahan untuk teori sebuah disertasi doktoran. Kekayaan karya ini juga memajmukkan khalayaknya. Teksnya menawarkan pengalaman untuk setiap pembaca yang sudi membacanya dan menghadiah makna kepada setiap seseorangnya.
Akhir sekali khalayak ditawarkan suatu pengalaman estetik yang sublim, yang halus dan menawan.
Demikianlah genius Sulalat al-Salatin .
Bibliografi
Reiss, Timothy J
1992 The Meaning of Literature. Ithaca, Cornell University Press.
Tambling, Jeremy
What is Literary Language? Milton Keynes, Open University Press.
Tun Seri Lanang
1997 Sulalat al-Salatin. Muhammad Haji Salleh, editor. Kuala Lumpur, Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
1970 Sejarah Melayu or Malay Annals. Diterjemahdan diberi nota oleh C.C.Brown. Kuala Lumpur, Oxford University Press.
Zalila Sharif dan jamilah Haji Ahmad, ed.
1993 Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).Diselenggarakan A.Samad Ahmad. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
*******